fbpx

9 ditahan belasah lelaki sehingga maut, cedera parah di Bangsar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar pergaduhan yang berlaku di sebuah lorong Jalan Telawi, Bangsar dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Kira-kira dua tahun lalu, dua lelaki tempatan dibelasah sehingga maut dan cedera parah oleh sekumpulan lelaki dipercayai angkara dendam lama di Bangsar Village, Jalan Telawi 2 Bangsar, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, seramai sembilan lelaki tempatan yang berusia 24 hingga 30 tahun telah ditangkap selain merampas senjata yang digunakan suspek iaitu sebilah pisau dan sebotol arak.

“Hasil siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur semalam dan arahan tuduh telah dikeluarkan ke atas tiga suspek dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Sementara itu, enam lagi suspek telah dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, motif kejadian dipercayai berlaku kerana wujud dendam lama antara mangsa yang meninggal dunia dan suspek.

Dalam pada itu, pihaknya mengingatkan orang awam supaya tidak melibatkan diri atau bersubahat dengan mana-mana orang dan menjalankan apa-apa aktiviti yang boleh terjumlah kepada perbuatan jenayah.

Terdahulu pada 13 Mac 2021, Kosmo! melaporkan seorang lelaki warga tempatan maut dalam satu kejadian pergaduhan selepas badan ditoreh dan ditikam dengan botol arak di sebuah lorong di Jalan Telawi 2 berhampiran dengan pusat beli-belah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa yang berusia 28 tahun bersama rakannya berusia 30 tahun baru sahaja minum minuman keras di sebuah kedai berhampiran.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, ketika dalam perjalanan menuju ke tempat letak kenderaan, mangsa dan rakannya telah berjumpa dengan kumpulan suspek sebelum berlaku pergaduhan dipercayai kerana dendam lama.

“Lelaki berusia 28 tahun maut ditoreh badan dan ditikam masing-masing menggunakan pisau dan botol arak oleh suspek. Mangsa kemudian melarikan diri ke arah sebuah pusat beli-belah dan terjatuh di hadapan kedai serbaneka 24 jam.

“Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala rakannya mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan telah mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” jelasnya dalam kenyataan dua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI