fbpx

15,000 anggota ATM bertugas hari raya nikmati sumbangan RM2.16 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Affendi Buang (kiri), Adly Zahari (tengah), Mohamad (kanan) memeriksa sumbangan yang bakal diberikan kepada para anggota ATM dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri, di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 15,000 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas sepanjang hari raya Aidilfitri akan menikmati sumbangan dalam bentuk barangan dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM2.16 juta.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya menerima 79 sumbangan daripada syarikat, badan korporat serta individu membawa jumlah keseluruhan RM2.16 juta dalam bentuk wang tunai, barangan keperluan dan juadah hari raya.

Katanya, sumbangan tersebut berjaya menyediakan 15,000 beg yang akan diserahkan kepada semua perajurit dan pertiwi negara yang bertugas menjaga perbatasan dan kesejahteraan negara semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Sebanyak 15,000 beg ini akan dibungkus dan dihantar kepada anggota yang bertugas sewaktu Hari Raya Aidilfitri, keutamaan kami (ATM) mesti menjaga kedaulatan negara tanpa kenal siang malam dan petang.

“Kita mahukan kesemua warga tentera merasakan mereka sebahagian daripada keluarga besar ATM dengan pemberian ini. Tidak kira dimana bertugas,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri, Auditorium Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Turut hadir sama,Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera,Jeneral Tan Sri Affendi Buang , Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob,

Diikuti dengan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Hafizuddeain Jantan yang mewakili Panglima Tentera Darat.

Menurut Mohamad, tanggungjawab mempertahankan negara tidak hanya diletakkan ke atas ATM malah agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat secara keseluruhan.

“Dengan berlakunya pemberian sumbangan kepada ATM, inilah bukti keprihatinan adalah selari dengan konsep keseluruhan rakyat (whole of society) seperti yang dihasratkan dalam Kertas Putih Pertahanan,” ujarnya.

Tambah Mohamad, beliau amat gembira dengan pemberian yang diberikan oleh pihak yang benar-benar menghargai jasa ATM melindungi negara daripada terus diceroboh.

“Mewakili warga ATM, budi tuan dan puan akan dikenang dengan terjaganya keselamatan negara, jika benteng sentiasa dibolosi tiada siapa ingin membawa modal (melabur) dalam negara kita.

“Kadang itu, sibuk berjaya dalam perniagaan hingga lupa pentingnya aspek kedaulatan negara, bagaimanapun inilah tugas hakiki, dapat atau tidak (bantuan) itu rezeki,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI