BATU PAHAT – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersetuju menambah 10 lagi outlet pasar tani untuk Jualan Khas Syawal Madani bermula Sabtu ini.
FAMA sebelum ini mengumumkan akan membuka 103 outlet pasar tani di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai khususnya umat Islam membeli keperluan bagi menyambut kedatangan lebaran.
Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penambahan itu juga dibuat setelah pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan masalah kenaikan barangan diatasi selain keterjaminan makanan mencukupi.
“FAMA juga akan berusaha untuk mencukupkan barang itu (makanan) termasuk ikan, sayur, minyak masak dan barang-barang utama lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir kepada golongan petani dalam kawasan Parlimen Sri Gading, dekat sini, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya akan membuka 103 outlet pasar tani yang menjalankan Jualan Khas Syawal Madani bermula 15 Aprill sehingga 20 April melibatkan barangan keperluan Aidilfitri pada harga berpatutan.
Antara barangan yang akan dijual di pasar tani itu ialah daging, ayam dan sayur-sayuran manakala menjelang hari raya akan menjual daun kelapa untuk dibuat ketupat. – KOSMO! ONLINE