MILAN – Pengurus Napoli, Luciano Spalletti berdepan mimpi ngeri selepas beberapa pemain di bahagian serangan pasukan itu tidak boleh beraksi menghadapi AC Milan pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di San Siro awal pagi esok.
Ia berikutan isu kecederaan menyaksikan Victor Osimhen, Giovanni Simeone dan Giacomo Raspadori tidak dapat menyertai latihan penuh pasukan.
Kreadibiliti Spalletti pastinya ditagih untuk mencari ganti terbaik yang turut dijangka akan menagih khidmat Khvicha Kvaratskhelia sebagai salah seorang penyerang memandangkan pemain sayap itu pernah beraksi di posisi berkenaan bersama skuad kebangsaan Georgia.
Memandangkan AC Milan masih lagi segar dengan kemenangan 4-0 ke atas Napoli di Serie A, secara psikologinya ia lebih berpihak kepada tuan rumah yang mahu memastikan keputusan lebih baik pada perlawanan pertama di gelanggang sendiri.
Kapten Napoli, Giovanni Di Lorenzo juga percaya perlawanan ini akan berlangsung sengit dan menuntut komitmen lebih baik daripada rakan sepasukannya bagi mengelak satu lagi kekalahan.
“Milan? Sudah pasti kami akan mula memikirkan tentang perlawanan itu. Kami akan hadapinya dengan lebih tenang dan melakukan apa yang telah membawa kami ke puncak Serie A.
“Kami harus sentiasa ceria, bersemangat dan kemudiannya, pengurusan pastinya akan melihat aspek taktikal untuk hadapi perlawanan ini,” katanya. – AGENSI