LONDON – Pengendali sementara Chelsea, Frank Lampard menggesa para pemainnya melupakan kesukaran yang dihadapi mereka ketika ini untuk memberikan sepenuh fokus pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.
Lampard yang kembali ke bilik persalinan The Blues dengan kontrak sehingga penghujung musim ini, mahu para pemainnya merasai semangat ketika mereka menjulang trofi berprestij kelab Eropah itu pada 2012 lalu.
Chelsea ketika ini berada di kedudukan ke-11 Liga Perdana Inggeris selepas tewas 0-1 menentang Wolves pada aksi pertama di bawah kendalian Lampard sekali gus menyaksikan ia musim yang agak sukar buat kelab itu termasuk memecat dua pengurus, Thomas Tuchel dan Graham Potter musim ini.
Bagaimanapun, nasib mereka agak berbeza di pentas Eropah apabila berjaya mara ke pusingan suku akhir dan Lampard berharap mereka mampu untuk melakukan kejutan menyingkirkan Real pada saingan kali ini.
Kira-kira 11 tahun lalu, Lampard mengetuai Chelsea melakar kejutan muncul juara pada saingan Liga Juara-Juara dengan menewaskan Bayern Munich menerusi penentuan sepakan penalti.
Ketika itu situasinya hampir sama dengan apa yang mereka lalui waktu ini apabila menamatkan saingan EPL di kedudukan keenam, malah mengendali semasa, Andre Villas-Boas dipecat sebelum digantikan dengan Roberto Di Matteo.
Biarpun sedar bahawa untuk mengulangi pencapaian itu bukan suatu yang mudah, namun Lampard tidak menolak sebarang kemungkinan sekiranya para pemain menunjukkan kesungguhan yang jitu.
“Ketika itu semua orang memiliki kesungguhan yang tinggi, karakter dan bakat yang dimiliki oleh pasukan membuatkan kami begitu dahagakan kejuaraan tersebut. Sebab itu anda masih lagi boleh mengingatinya.
“Saya fikir pasukan kali ini juga sama. Mereka sedang berdepan kesukaran dan situasi itu mungkin boleh bertukar menjadi sesuatu yang hebat,” ujarnya. – AGENSI