fbpx

Tiada krisis tunai, mampu penuhi semua komitmen -KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan spekulasi yang tersebar di aplikasi WhatsApp yang mendakwa badan itu menghadapi krisis tunai serta ketidakcukupan wang untuk membayar pengeluaran pra-persaraan.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam satu kenyataan berkata, badan itu sentiasa mengekalkan kecairan yang mencukupi untuk memenuhi semua komitmennya.

Katanya, segala aktiviti jual beli aset luar negara adalah sebahagian daripada operasi pelaburan KWSP mengikut alokasi aset strategiknya, dan bukan untuk membayar pengeluaran pra-persaraan.

“Malah, terdapat peningkatan yang stabil dalam keseluruhan pelaburan asing KWSP sejak beberapa tahun yang lepas, walaupun semasa berlakunya krisis Covid-19.

“Selain itu, KWSP juga menyangkal spekulasi bahawa Akta KWSP 1991
akan dipinda untuk menghalang pesara daripada mengeluarkan simpanan mereka,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Terdahulu, KWSP memaklumkan, spekulasi tersebut telah merujuk kepada rencana akhbar oleh Business Times Singapura bertarikh 7 April 2023 dan bertajuk “Bank Negara says Malaysians could run out of savings 19 years too soon”.

Jelasnya, apa yang diketengahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di dalam laporannya ialah situasi yang membimbangkan bagi pesara yang disebabkan oleh isu struktur seperti gaji yang rendah, yang sememangnya wujud sebelum pandemik melanda.

“Simpanan median untuk kumpulan umur 51-55 hanya akan bertahan lima tahun selepas pengeluaran pada umur 55, dan ia telah menurun kepada sekitar tiga tahun selepas pengeluaran berkaitan pandemik.

“Laporan itu selanjutnya menyatakan bahawa rata-rata rakyat Malaysia akan menghadapi risiko kehabisan simpanan persaraan mereka 19 tahun sebelum kematian, dengan jangka hayat global meningkat kepada 77 tahun ke atas menjelang 2050.

“Golongan millenial dalam lingkungan umur 26-40 tahun berkemungkinan menghadapi cabaran kewangan yang ketara, kerana ramai menghadapi kesukaran untuk memenuhi had Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu lagi, situasi tersebut boleh menjejaskan potensi peluang peningkatan simpanan sehingga RM94,000 apabila mereka bersara pada usia 60 tahun, seterusnya menjadikan mereka antara kumpulan demografi yang paling terkesan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI