PUTRAJAYA – Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2023 akan berkuat kuasa selama 16 hari bermula Sabtu ini sehingga 30 April melibatkan 30 jenis barangan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pelaksanaan skim itu dijalankan tujuh hari sebelum, dua hari semasa dan tujuh hari selepas perayaan Aidilfitri.
“Tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti cuaca, ekonomi global, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan permintaan serta penawaran,” katanya pada pengumuman SHMMP Hari Raya Puasa 2023 di sini hari ini.
Pada masa sama, Salahuddin berharap semua pihak mematuhi harga ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi harga barangan kawalan yang dikuatkuasa melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.
Sebanyak 24 barangan dikawal di bawah skim harga itu antaranya ialah daging lembu tempatan kecuali daging batang pinang (Semenanjung sahaja), daging lembu import (Sarawak sahaja), daging kerbau import dari India selain ikan kembung, selayang, tongkol, dan demudok.
Terlibat sama ialah tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, bawang besar merah import, bawang besar kuning, bawang putih China, bawang kecil merah India (ros), bawang kecil merah India, ubi kentang import (China), cili kering kerinting, kacang tanah, kelapa biji dan kelapa parut. – KOSMO! ONLINE