PETALING JAYA -Lelaki yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan kembung tubuhnya di Jalan 2/38, Seksyen 2, di sini, semalam dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira 48 jam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6 petang, daripada adik mangsa.
“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 43 tahun itu tidak bekerja dan mempunyai rekod kesihatan darah tinggi dan kencing manis.
“Dipercayai juga mangsa meninggal dunia 48 jam sebelum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fakhruddin memberitahu, adik mangsa yang tinggal bersama menyatakan dirinya sibuk bekerja dan kali terakhir melihat abangnya adalah pada Ahad lalu.
Mengenai bantuan daripada bomba untuk mengangkat mangsa, Fakhrudin berkata, lelaki itu bersaiz besar dan memerlukan laluan selain pintu utama bagi memindah keluar mayat tersebut.
“Mayat tersebut dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi ujian saringan Covid-19 serta bedah siasat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Azizul Zahari di talian 012-7220094 atau 03-79662222 bagi membantu siasatan,” ujarnya,
Terdahulu Kosmo! melaporkan, pihak bomba memberi khidmat khas mengangkat mayat selepas pihak polis menemui satu mayat lelaki tempatan yang telah kembong di dalam bilik rumahnya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat dipetik berkata, kerja memotong tingkap bilik dilakukan bagi mengeluarkan mayat melalui tingkap kerana pintu bilik yang terlalu sempit.
Tambah Morni, mayat dapat diangkat dengan kerjasama pasukan polis yang berada di lokasi kejadian.-KOSMO! ONLINE.