PETALING JAYA – “Lajunya menggadai amalan pahala.”
Demikian respons yang diberikan pelakon Ungku Ismail berhubung video tular yang mendakwa dia dan isteri, Nad Zainal berlagak sombong ketika menghadiri sebuah festival di Putrajaya baru-baru ini.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ketika mereka berdua sedang sibuk dan fokus melakukan penggambaran pada acara berkenaan, sekali gus menyangkal dakwaan tidak mengendahkan dan sombong dengan peminat.
“Kami sedang lakukan penggambaran.
“Fokus nak lihat dan dengar arahan jurugambar di depan untuk tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya dalam perkongsian InstaStory semalam.
Meskipun dihujani kecaman, bintang Cina Buta itu bersyukur kerana meraih pahala daripada segala kutukan yang diterima olehnya dan isteri.
Malah, dia juga meminta Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin bersabar dengan dugaan yang menimpa pada bulan Ramadan.
“Alhamdulillah. Banyak pahala kitaorang dapat daripada cemuhan, kutukan, hinaan dan ungkitan amalan dari malam semalam!
“Hanya kerana satu video, ramai dengan lajunya menggadai amalan pahala mereka beramai-ramai. SubhaanAllah!,” ujarnya.
“Kepada yang muat naik, beritakan, sebar dan mengata, padang mahsyar itu benar. Kita sabar nantikan.
“Sabar baby (panggilan buat Nad), ujian Ramadan,” katanya lagi.
Sejak semalam, tular sebuah video memaparkan pasangan suami isteri berkenaan muncul di sebuah acara di Putrajaya.
Aksi Nad dan Ungku Ismail menjadi bahan bualan ramai apabila terdapat segelintir individu mendakwa mereka kelihatan sombong kerana tidak senyum dan mesra ketika dirakam oleh peminat.
Disebabkan itu, mereka dilabel sebagai pasangan selebriti sombong dan tidak mesra peminat.
Difahamkan, keberadaan mereka di sana adalah sebagai selebriti jemputan yang mempromosikan acara tersebut.
Sekadar info, Nad dan Ungku Ismail mendirikan rumah tangga pada 23 Januari lalu dalam sebuah majlis nikah serba ringkas di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE