fbpx

Riki Rinaldi, Haji Samirudin ditahan semula selepas larikan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA suspek warga Indonesia yang meloloskan diri semalam berjaya diberkas semula malam semalam dan hari ini.

JOHOR BAHRU – Dua tahanan yang melarikan diri ketika dalam perjalanan menuju ke Penjara Ledang di Jalan Felda Inas semalam telah berjaya ditahan semula.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua suspek iaitu Riki Rinaldi dan Haji Samirudin ditahan berasingan.

“Riki Rinaldi telah dijumpai pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada pukul 9 malam semalam hasil maklumat daripada orang awam pada jarak lebih kurang 10 kilometer dari tempat kejadian dalam keadaan tidak bermaya berikutan kecederaan yang dialami ketika terjun daripada kenderaan.

“Manakala Haji Samirudin pula ditemukan pada pukul 10.40 pagi ini di ladang berhampiran tempat kejadian. Kedua-dua suspek kini ditahan di IPD Kulai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari.

Tambah Nurul Hizam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan melakukan siasatan dalaman dan mengambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran prosedur keselamatan semasa membawa tahanan.

Kedua-dua suspek warganegara Indonesia iaitu Haji Samirudin, 36 dan Riki Rinaldi, 40, telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan bermula dari tarikh ditangkap mengikut seksyen 56 (1A)(a) Akta Imigresen 1959/63.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow dilaporkan berkata, suspek bersama dua OKT warganegara Indonesia lain telah dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi bagi pertuduhan dibawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

“Pada pukul 11.20 pagi, seramai tiga orang anggota Maritim Malaysia telah ditugaskan membawa empat OKT warganegara Indonesia dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan.

“Semasa dalam perjalanan, dua OKT telah berjaya membuka gari berantai dan membuka pintu belakang van kemudian melarikan diri masuk ke dalam kebun kelapa sawit terbiar berhampiran di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang,” katanya.

Sehubungan itu, Beng Yeow memberitahu, Op Tutup telah dijalankan dan pasukan anggota risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai telah dimaklumkan berkenaan kejadian ini bagi mengesan serta tangkap kedua-dua suspek. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI