SHAH ALAM – Polis memperketatkan kawalan keselamatan di tiga lokasi utama di bandar raya ini yang bakal mengalami kesesakan luar biasa menjelang minggu terakhir menjelang Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, ini melibatkan sekitar Seksyen 7, Seksyen 24 dan Stadium Malawati yang menjadi lokasi tumpuan ribuan pengunjung untuk membeli belah pada saat akhir bermula minggu ini.
“Justeru, kami akan memperketatkan kawalan dan rondaan bagi mengawal keselamatan termasuk lalu lintas dan balai polis bergerak ditempatkan di Seksyen 7 bagi menunjukkan keberadaan polis,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, hari ini.
Jelas Mohd. Iqbal, pihaknya turut melaksanakan operasi bersepadu khas bagi mencegah jenayah sempena musim perayaan ini meliputi pemeriksaan di premis perniagaan termasuk bank yang dipenuhi orang ramai untuk urusan pengeluaran dan penukaran wang.
Selain itu, pengunjung dinasihatkan tidak sesuka hati meletakkan kenderaan bagi mengelak ditunda oleh pihak berkuasa.
“Lebih 900 pegawai dan anggota akan bertugas di 10 balai polis pada musim perayaan kali ini dan kita menasihatkan penduduk Shah Alam mengisi borang balik kampung sebelum meninggalkan kediaman untuk pulang bercuti bagi memudahkan rondaan dan kawalan berterusan terutama di kawasan perumahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE