PETALING JAYA – Seorang peniaga makanan bermurah hati apabila menawarkan nasi berlauk bungkus secara percuma kepada mereka yang tidak mempunyai wang di gerainya di tepi jalan berhadapan Surau Al-Falah Seksyen 6, Kota Damansara di sini.
Wanita itu menerusi akaun Twitter Nurul Shima memuat naik gambar nasi berlauk bungkus berharga RM3.50 dengan lima jenis lauk iaitu ayam minyak kicap, ayam masak merah, kari ayam, sambal merah daging dan sambal sotong.
“Sesiapa yang tak cukup duit atau tak ada duit atau tak bawa duit nak makan, singgah gerai nasi bajet sis tau. Ada nasi percuma. Tepi jalan, depan Surau Al-Falah Seksyen 6 Kota Damansara.
“Dari jauh boleh nampak payung kuning. Jangan risau, sis tak herdik orang. Kalau tak ada payung kuning tersergam indah petang hari tu, maknanya sis cuti. Tukang masak pun nak rehat juga,” katanya pada ciapan tersebut.
Menerusi ruangan komen daripada pengguna laman sosial tersebut, Nurul Shima memaklumkan gerainya dibuka setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 4.30 petang.
Malah, dia turut menerima permintaan daripada orang ramai yang mahu melakukan infak dengan nasi tersebut diberikan kepada sesiapa sahaja pelanggan.
Dalam pada itu, mereka juga meninggalkan komen positif serta mendoakan usaha peniaga wanita tersebut dalam membantu orang ramai yang memerlukan.
“Allahuakbar, semoga dimurahkan lagi rezeki puan,” kata Yuszaimie Mokhtar.
“Alhamdulillah, semoga dipermudahkan segalanya,” komen Cahaya Hanna. – KOSMO! ONLINE