WASHINGTON – Seorang pelajar kolej di negeri Kentucky, Amerika Syarikat (AS) disiasat selepas sebuah video yang memaparkan dia menggoreng seekor anak ayam hidup-hidup tular hujung minggu lalu, lapor akhbar New York Post semalam.
Video yang dikongsikan di Instagram Stories itu memaparkan seorang pelajar Universiti Louisville menyaluti anak ayam hidup itu dengan perasa sebelum memasaknya di dalam ‘air fryer’, lapor laman Louisville Courier Journal.
Klip berasingan pula memaparkan seekor anak ayam mati tergantung di siling dan seekor lagi berada di dalam ketuhar gelombang mikro.
Pelajar yang tidak didedahkan identitinya itu mendakwa ia merupakan anak ayam robotik, tetapi orang ramai tidak mempercayainya.
Universiti Louisville pada Sabtu lalu mengeluarkan kenyataan yang mengecam tindakan pelajar itu dan mengesahkan bahawa siasatan terhadapnya kini dijalankan.
Seorang pelajar, Sarah Devers memberitahu laman WDRB bahawa dia menghubungi polis selepas melihat hantaran itu.
“Ia memberi anda perasaan yang suram, seperti saya rasa bersalah kerana dapat melihatnya,” keluhnya. – Agensi