PUTRAJAYA- Laporan lengkap berhubung insiden kemalangan udara pesawat Sabah Air Nomad N-22B 9M-ATZ yang berlaku pada 6 Jun 1976 sudah boleh dimuat turun menerusi lawam web Kementerian Pengangkutan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua laporan siasatan akhir itu dikelaskan sebagai dokumen terbuka dengan menggunakan kuasa diperuntukkan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 April 2023 berkenaan laporan siasatan akhir kemalangan udara itu, saya mengumumkan bahawa proses menyahklasifikasi laporan selesai pada 6 April 2023.
“Sebagai Menteri Pengangkutan yang bertanggungjawab ke atas penerbangan awam dan siasatan kemalangan udara, saya mengelaskan semula laporan siasatan akhir sebagai dokumen terbuka menggunakan kuasa diperuntukkan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, laporan akhir kemalangan itu disiapkan pada 25 Januari 1977 dan kemudian dibentangkan ke Jemaah Menteri pada bulan Mac 1977.
“Namun begitu, hasil siasatan laporan tersebut tidak pernah diumumkan. Oleh demikian, selama hampir 47 tahun ahli keluarga mangsa terlibat tidak dapat mengetahui fakta dan sebab di sebalik nahas kemalangan udara itu.
“Seramai sebelas nyawa telah terkorban dalam tragedi Double-Six termasuk barisan pimpinan kanan Kerajaan Negeri Sabah ketika itu seperti Ketua Menterinya, Tun Fuad Stephens,”’jelasnya.
Katanya, setiap insiden penerbangan haruslah disiasat secara telus dan menyeluruh untuk menerap kepercayaan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia membina sebuah industri penerbangan berkredibiliti dan menepati piawian tertinggi. – KOSMO! ONLINE