IPOH – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Perak melantik Pengerusi baharu, VKK. Rajasekaran selepas memutuskan untuk menggugurkan Mutalib Uthman dari jawatannya selaku Pengerusi Muda Perak selain menggantung keahliannya selama tiga tahun berkuat kuasa pada 27 Disember 2022.
Setiausaha Agung Muda, Amir Abd. Hadi berkata, di peringkat negeri, pihaknya akan menukar hampir keseluruhan jawatankuasa namun ia tidak bermaksud jawatankuasa sebelum ini semuanya dikeluarkan tetapi mungkin portfolionya ketika di bawah Mutalib ditukarkan.
“Di bawah kepimpinan Rajasekaran, kita berikan kebebasan kepada negeri untuk membuat keputusan siapa yang bersesuaian untuk bersama dalam jawatankuasa yang akan dibentuk. Setakat ini, lima jawatan teratas jawatankuasa negeri telah dibentuk,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Berbuka Puasa di Surau Al-Qomar, Taman Pengkalan Utama di sini semalam.
Menurut Amir, pelantikan jawatankuasa baharu itu hanya berlaku di Perak sahaja berikutan berhadapan dengan konflik selepas pilihan raya yang memerlukan rombakan semula.
Menurutnya, Muda juga sedang menjalankan persiapan dalaman bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam buah negeri dalam masa beberapa bulan sahaja lagi. – KOSMO! ONLINE