GEORGE TOWN – Seorang individu yang belum dikenal pasti identiti dilaporkan maut dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Seri Bahari di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.12 pagi itu, mayat mangsa dijumpai dalam keadaan rentung di kawasan bilik air di tingkat bawah rumah kedai berkenaan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohd. Shafie Mohamad Safar berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.12 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran telah dapat dikawal pada pukul 4.43 pagi dan terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam bangunan dan hasil pemeriksaan di lokasi kebakaran mendapati anggaran kemusnahan adalah 90 peratus.
“Kerja-kerja menyelamat dan pengawalan serta pemadaman api sedang dijalankan. Operasi turut dibantu pasukan bomba sukarela berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) maut dalam kebakaran di Kampung Alma, Bukit Mertajam manakala sehari sebelum itu, mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun ditemui rentung di belakang katil bilik tidur bapanya di rumah sewa keluarganya di Air Itam. – KOSMO! ONLINE