GEORGE TOWN – Hampir 1,000 penduduk di dua kondominium mewah di Tanjung Bungah di sini menuntut janji yang dibuat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 2010 untuk menyediakan sebuah taman di tepi laut bagi kemudahan setempat.
Pengerusi kondominium One Tanjong di Tanjung Bungah, Oo Hui Ying berkata, taman itu dijanjikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, Lim Guan Eng malah beliau sendiri yang merasmikan pelancaran taman tepi laut berkenaan sebulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Ketika merasmikan pelancaran taman tepi laut ini, penduduk dijanjikan bahawa taman ini akan berfungsi sebagai taman awam yang berkeluasan 0.8 hektar serta mempunyai akses laluan ke pantai berserta pentas konkrit terbuka.
“Dalam ucapannya, Guan Eng memaklumkan taman tersebut akan siap pada Disember 2018 namun sehingga kini taman tersebut tidak disediakan kepada penghuni dan penduduk kawasan ini,” katanya ketika ditemui di One Tanjong di sini hari ini.
Menurutnya, selain dijanjikan dengan taman tepi laut, penduduk juga dijanjikan dengan pembangunan marina di atas tanah negeri dan tanah tebus guna seluas 8.09 hektar di kawasan berkenaan oleh pihak pemaju.
Jelas Hui Ying, pihaknya serta wakil penduduk telah berjumpa dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada tahun lepas bagi menuntut janji namun perkara itu masih gagal dilaksanakan.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, MS Chong, 60, berkata, dia dan suaminya memilih untuk menetap di kawasan berkenaan empat tahun lalu kerana pemaju kawasan itu menjanjikan sebuah taman tepi pantai dan marina kepada penduduk.
“Saya dan suami mahu menikmati kehidupan selepas pencen di sini, namun apabila dimaklumkan akan ada satu lagi pembangunan aprtment di depan kondominum ini kami bimbang kerana mungkin taman tepi laut yang dijanjikan tidak akan disediakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari ketika diminta mengulas mengenai isu itu berkata, pihak pemaju telah diarahkan untuk membina taman tepi pantai itu sebelum melaksanakan apa-apa pembangunan di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE