fbpx

Kaji gaji kakitangan Prasarana elak pekerja lari luar negara – Anthony Loke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke ketika bergambar bersama kakitangan Prasarana pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Pengangkutan Bersama Warga Rapid Rail di sini sebentar tadi

SUBANG JAYA – Kerajaan akan mewujud keperluan mengkaji semula gaji serta faedah kakitangan Prasarana dalam memastikan mereka memperoleh kadar bayaran lebih tinggi setanding negara luar yang lain.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kajian mendapati kebanyakan daripada mereka lebih tertarik dengan tawaran oleh pihak luar menyebabkan mereka lari ke negara lebih maju untuk bekerja.

“Pada tahun 2022, 836 kakitangan Prasarana meletak jawatan, satu kadar pusingan ganti yang agak tinggi.

“Kadar pusingan ganti untuk Rapid Rail adalah 6 peratus, manakala kadar pusingan ganti Rapid Bus mencecah 11 peratus. Ini adalah situasi yang membimbangkan.

“Majoriti mereka yang meninggalkan Prasarana adalah kakitangan teknikal dan kapten bas yang tertarik dengan tawaran yang lebih lumayan oleh pengusaha bas dan rel di dalam dan luar negara termasuk Singapura dan Timur Tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Rapid Rail di sini malam ini.

Anthony Loke berkata, berikutan daripada situasi dan cabaran ini, menjadi tanggungjawab Prasarana dan kerajaan untuk memastikan kebajikan pekerja-pekerja yang berkemahiran tinggi sentiasa dijaga, di mana terdapat keperluan untuk mengkaji semula gaji dan faedah sedia ada agar setanding dengan pasaran.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kadar penggunaan pengangkutan awam juga mencatatkan peningkatan yang baik bukan sahaja bagi Prasarana namun memberi kesan positif terhadap kerajaan.

Katanya, sehingga 21 Mac lalu, jumlah penggunaan harian rel and bas telah mencecah lebih sejuta orang.

“Ini adalah salah satu pencapaian yang memberangsangkan bukan sahaja buat Prasarana tapi juga buat kami di pihak Kementerian,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI