KUALA SELANGOR – Seorang wanita warga emas maut dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Puncak Alam menghala ke Kampung Budiman, hari ini.
Mangsa dikenali Aliah Jaafar, 67, maut di lokasi kejadian manakala suaminya, Abdul Rashid Md. Nor, 74, cedera parah.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, berdasarkan maklumat awal kemalangan melibatkan empat buah kenderaan masing-masing jenis kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax, lori tiga tan, Proton Persona dan Proton Savvy yang dinaiki pasangan suami isteri itu.
Katanya, kemalangan dikatakan berpunca daripada Isuzu Dmax yang dinaiki tiga lelaki yang dalam perjalanan ke Puncak Alam telah melanggar belakang lori tiga tan.
“Pacuan empat roda itu kemudiannya hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Savvy dan Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun.
“Pemandu Proton Savvy telah tersepit dan dikeluarkan oleh pihak bomba manakala isterinya telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemandu Proton Persona dan salah seorang penumpang di Isuzu Dmax hanya mengalami cedera ringan.
Morni menjelaskan seramai enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya terlibat dalam operasi tersebut selepas menerima panggilan kecemasan pukul 10.08 pagi. – KOSMO! ONLINE