PETALING JAYA – Keadaan hospital di seluruh negara dikatakan penuh ketika ini, sekali gus rakyat Malaysia dinasihatkan menjaga kesihatan lebih-lebih lagi dalam menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Menerusi perkongsian video oleh doktor perubatan, Dr. Malar Santhi Santherasegapan di TikTok berkata, selain keadaan katil di hospital penuh, jumlah mereka yang menunggu di jabatan kecemasan juga ramai berikutan rakyat Malaysia tidak sihat.
“Anda semua tahu tak hospital seluruh Malaysia penuh, katil penuh. Seorang keluar pukul 2 petang, pukul 2.05 petang dah ada pesakit baharu masuk. Yang tunggu di jabatan kecemasan saja saya rasa 20, 30 orang atau 30, 40 orang.
“Nak tampung kesesakan ini, klinik kesihatan dibuka sampai… saya tak tahu 9 atau 10 malam. Anda semua tahu kenapa? Sebab rakyat sangat-sangat tak sihat. Batuk, demam, selesema, sakit tekak, muntah, cirit-birit selain sakit perut.
“Tak cukup dengan itu, denggi, tifoid, gula tinggi, gula terlampau rendah, pengsan, bergaduh di rumah dan macam-macam. Hospital dah penuh, anda semua kena jaga kesihatan sendiri kalau tak nak bersesak beratur menunggu,” tegasnya dalam hantaran video semalam.
Beliau yang sering berkongsi tentang ilmu kesihatan di media sosial berkata, situasi sama turut berlaku di hospital swasta yang berdepan dengan katil penuh susulan pesakit dimasukkan ke wad.
“Jangan rasa ‘saya ada kad nak pergi hospital swasta’, sama sahaja lebih kurang sama penuh. Anda semua kena jaga kesihatan sendiri nak raya. Awak semua nak balik raya kan, dah fikir cuti berapa hari bulan, mula cuti sekolah berapa hari bulan, gaji berapa hari bulan dan nak ‘travel’ berapa hari bulan.
“Tapi kesihatan dah jaga belum, vaksin dah ambil ke belum, ‘booster’ (dos penggalak) dah ambil ke belum. Kesihatan dari segi lain ubat-ubatan yang makan setiap hari, ubat kencing manis dan darah tinggi. Dah tambah dan simpan dalam bekas, peket ke belum,” katanya mengingatkan orang ramai.
Dalam pada itu, Dr. Malar turut memberikan tiga langkah kepada orang ramai sebelum bercuti panjang bagi menyambut perayaan Aidilfitri atau pergi ke tempat-tempat menarik sepanjang cuti sekolah ini.
“Semua orang nak berkumpul raya nanti tak kisah yang Islam atau orang bukan Islam. Semua dah rancang nak cuti ke mana sebab cuti sekolah panjang, saya faham. Tapi tolonglah jaga kesihatan iaitu pertama, sediakan bekalan ubat-ubatan yang mudah seperti ubat batuk, demam, selesema, plaster luka sebagainya.
“Kedua, ambil vaksin dan ‘booster’ pergi ke klinik berdekatan. Pastikan anda jangan bawa balik gejala ke kampung. Kita dah bergelut Covid-19 dua tiga tahun dan tahun ini baru rasa merdeka. Tolonglah, jangan bawa penyakit di bandar ke kampung.
“Ketiga, paling penting untuk tidak bawa penyakit sewaktu berkumpul adalah, kalau anda sakit jangan balik dulu atau pakai pelitup muka. Cuci tangan dan amalkan prosedur operasi standard (SOP) yang kita belajar sewaktu pandemik,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE