GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan empat warga Myanmar termasuk tekong selepas didapati mengendalikan bot nelayan tempatan tanpa dokumen yang sah semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Khas Pagar Laut 1/2023 kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Menurutnya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 88.8 kilometer barat daya Pulau Kendi.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan empat warga Myanmar termasuk tekong berumur dalam lingkungan 33 hingga 38 tahun.
“Kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta disyaki telah melanggar syarat sah lesen bot,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE