MANCHESTER – Rekod 21 jaringan yang berjaya dihasilkan Manchester City dalam empat aksi terakhir meletakkan pengurusnya, Pep Guardiola lebih tenang untuk menghadapi gergasi Jerman, Bayern Munich pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi esok.
Selain kualiti yang ada pada Erling Haaland, tonggak tengah The Citizens, Jack Grealish juga sedang berada pada prestasi terbaik untuk menjadi taruhan pada perhitungan pusingan pertama Etihad kali ini.
“Berdasarkan jaringan, Haaland sudah terbukti memiliki kualiti luar biasa sepanjang musim ini. Kami memiliki kepantasan di kawasan bahaya pihak lawan dan dia (Haaland) adalah seorang pemain yang cukup hebat.
“Ketika ini Jack juga sedang berada pada tahap terbaik dan dia sudah mencipta bantuan jaringan serta gol buat kami. Sudah pasti apabila kami memiliki pemain seperti ini, kami mampu tampil dengan kelainan.
“Mereka memiliki kemampuan dan bakat untuk melakukan tugas untuk bantu pasukan,” kata pemain tengah City, Rodri.
Menerusi empat aksi terakhir melibatkan City sebelum ini, kejayaan 4-1 adalah kemenangan paling kecil yang dicatatkan ketika tewaskan Liverpool dan Southampton, manakala dua lagi perlawanan bertemu Burnley serta RB Leipzig berakhir dengan keputusan 6-0 dan 7-0.
Bayern Munich berdepan situasi sebaliknya apabila pengendali baharunya, Thomas Tuchel dipalit kekalahan 1-2 kepada Freiburg pada perlawanan Piala Jerman sebelum menang tipis 1-0 kepada lawan sama dalam saingan Bundesliga.
Mengambil kira situasi ini, Rodri yang juga bintang tengah Sepanyol merasakan City perlu memulakan perlawanan dengan lebih baik bagi memberikan tekanan kepada pasukan lawan sekaligus meraih kemenangan pada aksi pertama kali ini.
“Kami berada pada rentak terbaik, jadi kami tidak sabar untuk menghadapi aksi menentang Bayern dan kami harus bermula dengan lebih agresif.
“Bayern adalah pencabar terbesar di pentas Eropah dan jika kami mahu memiliki peluang lebih cerah, kami perlu tunjukkan kualiti sebenar yang kami ada,” ujarnya. – AGENSI