LISBON – Benfica mempertaruhkan rekod cemerlang di laman sendiri, Estadio Da Luz musim ini akan memberikan kelebihan kepada mereka menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Inter Milan awal pagi esok.
Jurulatihnya, Roger Schmidt menjelaskan, anak-anak buahnya sentiasa beraksi dengan baik dan menjaringkan banyak gol setiap kali bermain di Estadio Da Luz kecuali kekalahan 1-2 kepada Porto dalam aksi Liga Primeira pada Sabtu lalu.
Justeru, pengendali berusia 56 tahun itu berharap barisan pemainnya dapat memanfaatkan beraksi di laman sendiri untuk membawa bekalan selesa ke perlawanan timbal balik di San Siro pada 20 April ini.
“Beraksi di Estadio da Luz sentiasa istimewa, malah kami tidak pernah rasa bosan dengan perkara ini. Ia memberikan kami semangat tambahan kerana kami tahu boleh bermain baik dan jaringkan banyak gol.
“Kami akan pastikan kehadiran mereka (Inter) ke sini menjadi sesuatu yang sukar untuk dilupakan. Mereka ada pengalaman beraksi di Lisbon (menentang Porto), tetapi pengalaman di sini berbeza,” katanya.
Benfica mara ke suku akhir selepas merakam kemenangan agregat 7-1 ke atas wakil Belgium, Club Brugge di pusingan 16, manakala Inter berjaya mengatasi satu lagi jaguh Portugal, Porto 1-0 untuk melangkah ke peringkat lapan terbaik.
Aquias yang kini menerajui carta Liga Primeira dengan kelebihan tujuh mata ke atas Porto di tempat kedua, mengharapkan sentuhan penyudah tajam daripada penyerang berusia 21 tahun, Goncalo Ramos.
“Saya sangat berpuas hati dengan Ramos musim ini. Prestasinya wajar dipuji kerana menjaringkan banyak gol dalam perlawanan penting buat kami. Jadi saya tak hairan banyak kelab cuba memujuknya untuk berhijrah,” jelas Schmidt. – AGENSI