SHAH ALAM – Pelakon Farid Kamil menganggap ketidakhadiran pelakon Diana Danielle Danny Beeson ke Mahkamah Tinggi Syariah bagi prosiding sulh boleh dianggap satu tindakan yang melanggar perintah mahkamah.
Agak kecewa dengan ketiadaan Diana yang menyebabkan kegagalan proses sulh, Farid Kamil sendiri hilang punca memandangkan tarikh hari ini yang difailkan isterinya itu.
Susulan kegagalan hadir, mahkamah menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh prosiding sulh kedua buat pasangan Farid Kamil, 42 dan Diana Danielle, 32.
“Sulh hari ini tidak dapat diselesaikan kerana Diana tidak hadir. Saya difahamkan mengenai alasannya adalah disebabkan ketika ini dia masih tidak boleh berjumpa dengan saya.
“Bagaimanapun, saya berharap doa orang ramai dan saya sendiri dapat dimaklubkan supaya Diana berlembut hati kerana dia masih isteri saya.
“Dalam tempoh saya tidak dapat berjumpa dia, saya juga berharap Diana dapat menjaga adab dan jangan lupa dirinya masih sebagai isteri saya,” katanya ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.
Sementara itu, Farid menegaskan, sekiranya Diana masih tidak dapat menghadirkan diri untuk menjalani prosiding sulh pada 25 Mei depan, isterinya itu seolah-olah menghina mahkamah.
“Hari ini dia (Diana) failkan (prosiding sulh), tapi dia tidak hadir. Jadi kami akan hadir sekali lagi menjalani prosiding ini untuk mendapatkan kata sepakat antara kedua-dua belah pihak.
“Bila seseorang sudah failkan untuk perdamaian, tapi dia tidak datang, dalam undang-undang saya diberitahu perkara tersebut adalah satu perkara yang melanggar perintah,” katanya.
Ketika hadir ke prosiding sulh, hari ini, Farid mengemukakan tawaran perdamaian terhadap Diana membabitkan antaranya aset kenderaan, barang kemas dan bayaran pendahuluan nafkah yang kesemuanya bernilai hampir RM400,000. – KOSMO! ONLINE