BALIK PULAU – Seorang lelaki tempatan bersama dua wanita warga asing ditahan polis selepas disyaki menjalankan perniagaan rumah urut tanpa lesen yang sah semalam.
Menurut kenyataan Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPD BD), suspek terbabit ditahan selepas pihak polis menyerbu sebuah premis di Persiaran Bayan Indah di Bayan Lepas, di sini.
”Hasil pemeriksaan mendapati penjaga premis (suspek lelaki) yang berusia 24 tahun gagal mengemukakan lesen perniagaan rumah urut yang sah.
”Dua wanita warga asing yang berusia 24 dan 34 tahun pula disyaki bekerja sebagai tukang urut tanpa permit yang sah serta melanggar syarat pas lawatan sosial,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, antara barang-barang yang dirampas adalah kain tuala, botol minyak urut, tisu basah dan sejumlah wang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresan 1959/63, Seksyen 39(b) Peraturan – Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 24 Undang-Undang Kecil 1980 MPPP. – KOSMO! ONLINE