PETALING JAYA – Pemilik perniagaan dan dua pekerja asing kedai gunting rambut di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang mengenakan caj RM120 kepada pelancong asing diambil tindakan di atas kesalahan tiada penandaan harga.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pemeriksaan itu dijalankan pihaknya susulan aduan yang dikesan melalui sosial media.
“Hasil pemeriksaan, kita dapati terdapat dua warga asing dipercayai bekerja di premis tersebut iaitu lelaki warga Pakistan dan Algeria.
“Bagaimanapun, lelaki warga Algeria dipercayai pekerja sambilan sudah mengaku secara lisan mengenai caj tinggi yang dikenakan kepada pelancong,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai operasi kedai tersebut, Ariffin berkata, pemeriksaan mendapati tiada tanda harga dipamerkan di premis terbabit untuk semua perkhidmatan yang ditawarkan.
“Jadi, kita telah hubungi pemilik perniagaan dan akan dipanggil ke pejabat untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua pekerja warga asing itu juga telah hadir ke pejabat untuk ambil keterangan,” jelasnya.
Tambah Ariffin, tindakan kes diambil bawah AKHAP 2011 berkaitan kesalahan tiada penandaan harga.
Terdahulu, KPDN memaklumkan telah mula menjalankan siasatan berhubung dakwaan dua pelancong dicaj sehingga RM120 di sebuah premis gunting rambut di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Perkara itu tular di media sosial selepas pasangan tersebut memuat naik video dan bertanyakan sama ada mereka telah ditipu susulan harga dikenakan itu terlampau mahal. – KOSMO! ONLINE