fbpx

MySaved Food ‘selamatkan’ lebihan makanan bazar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANAK-ANAK muda Sukarelawan Perpaduan mengumpulkan lebihan makanan di bazar Ramadan untuk disumbangkan ke masjid di sekitar DUN Klebang.

MELAKA – Sekumpulan anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di sini melakukan inisiatif mengumpulkan lebihan makanan dari bazar Ramadan untuk diagihkan ke masjid-masjid sebagai juadah moreh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd. Yusof Abu Hassan berkata, usaha itu merupakan aktiviti di bawah program MYSaved Food yang dilakukan sejak hari pertama Ramadan bagi mengelak pembaziran makanan.

Ujarnya, program berkenaan telah dijalankan oleh 13 anak muda daripada Sukarelawan Perpaduan yang mengumpulkan makanan daripada Bazar Bukit Rambai, Bazar Pantai Kundor dan Bazar Klebang.

“MYSaved Food adalah inisiatif anak-anak muda daripada DUN Klebang untuk mengelakkan pembaziran khususnya lebihan makanan di bazar Ramadan yang masih boleh dinikmati.

“Makanan-makanan itu akan dikumpulkan dan diperiksa kualitinya sebelum diagihkan ke masjid-masjid serta surau untuk dijadikan juadah moreh,” katanya ketika ditemui di Pusat Transformasi Luar Bandar (RUTC) Klebang Besar, Pulau Gadong, di sini, malam tadi.

Tambahnya, setakat ini projek MYSaved Food itu telah membekalkan makanan moreh kepada lebih lima buah masjid dan surau di kariah berkenaan.

“Makanan itu juga akan diagihkan ke rumah-rumah mereka yang dikenal pasti memerlukan dan golongan asnaf.

“Susah untuk kita anggarkan berat lebihan makanan yang berjaya dikumpul kerana jumlahnya tidak menentu, namun setiap masjid menerima kira-kira 10 jenis makanan setiap hari,” ujarnya.

Mohd. Yusof berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan sekiranya mana-mana pihak atau para peniaga bazar Ramadan ingin menghantar lebihan makanan yang masih elok ke pusat RUTC berkenaan untuk agihan ke masjid. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI