PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menyiasat segera isu kontena berisi dadah dari Malaysia ke Brisbane, Australia yang dirampas pihak berkuasa Australia pada 13 Mac lalu.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat terperinci mengenainya namun akan menyiasat segera.
“Kami memandang serius perkara itu dan akan mendapatkan maklumat mengenai pelabuhan berkaitan dan membuat siasatan.
“Apa-apa kargo menggunakan pelabuhan kita untuk mengangkut bahan larangan adalah kesalahan serius,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Sebelum ini, pihak berkuasa Australia dilaporkan merampas 336 kilogram (kg) heroin dianggar bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.
Menurut laporan itu, Polis Persekutuan Australia (AFP) berkata, Pasukan Sempadan Australia (ABF) mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.
“Semakan mendapati penghantaran itu diisytihar sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia,” katanya.- KOSMO! ONLINE