fbpx

Mangsa rentung sorok belakang katil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah yang terbakar sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak maut di Kampung Pisang, Air Itam, George Town semalam.

GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang ditemui rentung dipercayai telah menyembunyikan diri di belakang katil rumahnya ketika api sedang marak dalam kebakaran di Kampung Pisang, Air Itam di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mayat mangsa, G. Sri Laavanya dijumpai dalam keadaan terbaring di belakang katil di bilik bapanya.

Menurutnya, faktor api yang marak terlalu cepat dipercayai menjadi punca mangsa yang juga anak tunggal maut dalam kebakaran membabitkan tiga buah rumah sewa.

“Mangsa dipercayai cuba bersembunyi di belakang katil dan ketika kejadian, bapanya tiada di rumah dan mangsa berada di rumah bersama datuk dan nenek.

“Api marak cepat, nenek dan datuk mangsa telah lari keluar dan tidak sempat mencarinya ketika kebakaran itu. Ini kerana, mangsa sebelum ini tidur sen­diri di biliknya, namun semalam mangsa tidur di bilik bapanya,” katanya di sini semalam.

Mayat Sri Laavanya (dalam bulatan) ditemui di belakang katil dalam bilik tidur bapanya malam kelmarin.

Ujarnya, nenek mangsa melecur pada tangan kanan dan telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Rumah yang dihuni mangsa bersama ahli keluarganya ini adalah sebuah unit yang me­ngandungi tiga bilik dan mereka menyewa unit tersebut dengan harga RM100 sebulan.

“Dua lagi unit turut disewa dengan tiga penghuni di setiap unit dan unit ini turut terbakar. Api berpunca dari unit yang dihuni keluarga mangsa,” katanya.

Sementara itu, di unit forensik HPP, ahli keluarga ­mangsa enggan ditemu bual kera­na masih bersedih dengan kejadian ­menimpa anak yatim yang baru kematian ibunya tahun lalu.

Terdahulu, Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd. Shakir Abdullah berkata, pihaknya mene­rima panggilan mengenai keja­dian pada pukul 11.19 malam.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan rentung pada pukul 12.33 pagi dan kemudiannya di­serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Setakat ini, punca sebenar kebakaran masih disiasat pihak berkuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI