KUALA TERENGGANU – Dua wanita iaitu seorang ketua pembantu tadbir sebuah jabatan kerajaan dan adik iparnya yang juga pemilik sebuah syarikat direman lima hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes salahguna kuasa.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd. Tarmizi Nik Mohd. Shukri yang menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, penjawat awam wanita berusia 44 tahun itu disyaki menyalahguna jawatan dengan menyokong syarikat milik adik iparnya mendapatkan perolehan pembekalan di jabatan persekutuan terbabit.
Beliau berkata, salah laku berkenaan disyaki berlaku sejak 2019 melibatkan lebih 10 perolehan pembekalan bernilai kira-kira RM30,000.
“Penjawat awam wanita tersebut dan adik iparnya, 39, ditahan reman sehingga 15 April ini.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya di sini hari ini.
Sumber SPRM memberitahu mereka telah ditahan antara pukul 1.40 petang sehingga 2.10 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu di sini semalam. – KOSMO! ONLINE