SHAH ALAM – Seorang bekas Timbalan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sepang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM6,000 berkaitan Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021.
Tertuduh, Mohd. Asyraf Mohd. Fauzi, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Bapa kepada empat anak itu didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya iatu wang tunai berjumlah RM2,000 dan RM4,000 daripada seorang lelaki berusia 39 tahun.
Ini sebagai dorongan baginya sebagai Timbalan Pengurus Besar PPK Sepang bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja-kerja pembersihan dan pembekalan anak benih tebu telur berhubung dengan Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021: Projek Pertanian Organik Tebu Telur daripada PPK Sepang.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Kampung Giching, Sepang pada September 2021.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Tertuduh kini difahamkan bertugas sebagai Pengurus Besar PPK Gombak.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin dan syarat tambahan lain menyerahkan pasport serta melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM Selangor.
Peguam Saleh Ahmad mewakili tertuduh bagaimanapun jaminan dikurangkan dengan anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak berusia dua minggu hingga tujuh tahun.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM8,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes pada 24 Mei depan. -KOSMO!ONLINE