BENTONG – Seorang lelaki maut selepas lori dinaikinya terbabas di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi di sini awal pagi ini.
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu ialah kelindan lori, R.Sugunaran, 45.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, bomba yang tiba di lokasi kejadiaan mendapati dua lelaki tersepit di dalam lori berkenaan.
“Pasukan bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan mangsa pertama berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
“Mangsa kedua yang berjaya dikeluarkan kemudiannya meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE