fbpx

‘Kami tujuh beradik akan bersatu semula’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan ZAINI (kiri) bersama enam cucu yang merupakan anak arwah Rubiah (gambar kecil) hasil perkahwinan dengan anak lelakinya.

DUNGUN – Tujuh anak mang­sa pembunuhan kejam, Rubiah Sabtu terpaksa menerima hakikat berpisah sementara selepas kematian ibu mereka dalam kejadian tragis pada minggu lalu.

Anak sulung dan kedua mang­sa, Muhammad Daniel Mohd. Radzi, 18, dan adiknya, Muhammad Danish Hakim, 15, akan menetap bersama bapa mereka yang juga bekas suami Rubiah di Bukit Besi di sini.

Empat adik mereka iaitu Da­niela Danissya, 11, Muhammad Adam Darwisy, 9, Muhammad Danial Naufal, 7, dan Muhammad Dani Lutfi, 5, akan tinggal bersama nenek sebelah bapa, Wan Zaini Wan Abdullah, 60, di Tangga Batu, Melaka.

Adik bongsu mereka, Nur Kaira Damia yang berusia tiga bulan pula dijaga keluarga bapa tiri enam beradik tersebut.

Muhammad Danish Hakim berkata, dia percaya perpisahan tersebut hanya bersifat sementara dan hubungan mereka tujuh beradik akan kembali bertaut suatu hari nanti.

“Saya dan abang (Muhammad Daniel) sudah sepakat untuk mengambil alih tanggungjawab menjaga adik-adik apabila kami dewasa kelak.

“Buat masa ini, saya dan abang mahu memastikan adik-adik tidak terus lemah semangat dise­babkan kehilangan mengejut ibu kami.

“Kejadian itu memberi kesan trauma terutama adik kelima (Muhammad Danial Naufal), namun kami kena belajar untuk reda dengan takdir Allah,” kata­nya sebak ketika ditemui di Kampung Besol di sini semalam.

Anak bongsu arwah Rubiah yang beusia tiga bulan kini dijaga oleh keluarga suaminya.

Sementara itu, Wan Zaini memberitahu, tumpuannya kini adalah untuk menenangkan emosi kesemua anak arwah bekas menantunya.

“Saya kerap berpesan kepada mereka bahawa semuanya sudah ditakdirkan, jangan berdendam dengan bapa tiri (suspek).

“Serahkan kepada pihak berkuasa. Apa yang berlaku ini asbab kematian ibu mereka yang ditentukan Allah,” katanya.

Kosmo! pada 6 April lalu melaporkan Rubiah ditemui mati dengan enam kesan hentakan menggunakan penukul besi yang dipercayai dilakukan suami sendiri di rumah pasangan itu di Kampung Besol.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan bertengkar dengan suami yang dikahwini lebih setahun lalu.

Suspek berusia 32 tahun yang bekerja sebagai tukang rumah ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan atas kesalahan membunuh.

Berita berkaitan: Bayi arwah Rubiah menangis lapar susu

Berita berkaitan: Wanita maut dipukul suami dengan tukul besi

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, masalah kewangan dikatakan punca mangsa bertengkar dengan suaminya sebelum dia mati dibunuh.

Setakat ini, polis telah memanggil sembilan individu termasuk seorang anak mangsa bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Berdasarkan bukti, pasa­ngan itu dipercayai bergaduh akibat masalah kewangan,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis tidak menolak kemungkinan tempoh reman suspek yang berakhir hari ini akan di­sambung lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI