fbpx

JDT masih jauh lagi untuk bergelar juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FERNANDO Forestieri meraikan jaringan bersama rakan-rakan sepasukan ketika menewaskan KDA FC 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin. – RAJA JAAFAR ALI

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) semakin cemerlang apabila mempamerkan aura sang juara selepas berpesta gol ketika menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin.

Sebelum ini, Harimau Selatan turut membelasah pasukan lain yang disebut-sebut bakal mencabar JDT dalam memburu kejuaraan ke-10 seperti Sabah FC dan Selangor FC dengan jaringan 4-0.

Biarpun melihat JDT seakan-akan tidak tercabar pada saingan Liga Super, pengendalinya, Esteban Solari beranggapan kejuaraan liga masih jauh daripada jangkauan skuad Harimau Selatan.

Ketua jurulatih dari Argentina itu berkata, walaupun mereka berjaya mendapatkan kemenangan selesa, ia tidak bermakna mereka berdepan laluan mudah untuk mengecapinya.

“Ini baru lapan perlawanan, perjalanan kami masih jauh, terlalu awal untuk berbicara tentang mempertahankan kejuaraan Liga Super dan apa-apa boleh berlaku dalam bola sepak.

“JDT menghormati setiap pa­sukan yang kita hadapi dan akan memberikan tentangan sengit tanpa mengira siapa pasukan lawan itu, kita akan bermain sebagai pasukan lebih baik. JDT akan berusaha untuk meneruskan rentak kemenangan dan memberi komitmen penuh pada aksi akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaan mengalahkan KDA FC, Solari berkata, ia merupakan satu perlawanan sukar setelah pasukan hanya mampu menjaringkan satu gol pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, katanya, pemain meningkatkan rentak permainan memberi tekanan kepada pihak lawan hingga memaksa mereka melakukan kesilapan dan berjaya mencipta jaringan.

“Kita berjaya mempamerkan dominasi secara total dan pemain menggandakan tekanan kepada pasukan lawan serta menyerang dengan efektif, hasilnya kita berjaya menang besar ke atas KDA FC.

“Sudah tentu saya gembira dengan prestasi pemain, pada perlawanan penting seperti ini mereka berjaya membuktikan kemampuan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI