fbpx

Isu harga lantai e-hailing, sebaiknya ditentukan pasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Loke pada sidang akhbar selepas mesyuarat National Logistic Task Force (NLTF) Bil 1 Tahun 2023. -Foto oleh/FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) seboleh-bolehnya tidak mahu campur tangan berhubung isu penetapan harga lantai (minimum) tambang e-hailing sebaliknya membiarkan ia ditentukan pasaran.

Menterinya, Anthony Loke berkata, pihaknya sedia maklum mengenai gesaan persatuan pemandu e-hailing yang mahu kerajaan campur tangan berhubung isu itu.

Beliau berkata, buat masa ini, cadangan itu masih di peringkat perbincangan dan masih belum ada apa-apa keputusan mengenainya.

“Persatuan berkenaan sudah menemui saya dan kementerian faham situasi dihadapi mereka itu.

“Mengikut dasar sedia ada, sebaik-baiknya daripada segi harga kita tidak mahu campur tangan dan membiarkan ia dinamik antara syarikat pengendali perniagaan pengantaraan (EHO), pemandu dan penumpang

“Kita biarkan ia (harga minimum) ditentukan oleh pasaran. Itu sebaik-baiknya kita nak kekalkan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya memahami harapan setiap pemandu yang mahukan harga minima tambang supaya setiap perjalanan berbaloi.

Loke berkata, pihaknya juga memahami bahawa pemandu juga tidak boleh memandu dengan kerugian dan mereka juga ada kos operasi yang perlu ditanggung.

“Bagaimanapun, sudah tentu jika ada kadar lantai ditetapkan, harga tambang kepada pengguna akan meningkat. Justeru, pertimbangan itu juga perlu kita ambil.

“Kesemua faktor itu akan diperincikan, disiasat dan dibincang terlebih dahulu antara pemegang taruh sebelum apa-apa keputusan diambil kelak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI