fbpx

Ibu, anak jaja nasi bungkus untuk ‘geng plastik hitam’ naik Myvi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek wanita yang ditahan semasa menjual nasi bungkus dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Padang Tembak, Kota Bharu hari ini. -Foto IHSAN JAHEAIK

KOTA BHARU – Dua beranak dicekup selepas dipercayai menjual nasi bungkus secara mobil atau bergerak dengan menaiki sebuah kereta kepada individu yang ponteng puasa di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Ibu yang berusia dalam lingkungan 50-an dan anak lelakinya berusia 20-an diberkas anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaheaik, Mohd. Fadzuli Mohd. Zain, pihaknya menjalankan intipan selama seminggu apabila menerima maklumat daripada orang awam sebelum menahan kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki dua beranak itu pagi tadi.

Menurutnya, anak kepada wanita itu memandu kereta terbabit manakala ibunya menjual nasi bungkus di sekitar Jalan Padang Tembak.

“Semasa serbuan dijalankan, kita turut menahan dua lelaki yang merupakan pemandu lori berusia dalam lingkungan 40-an yang membeli nasi bungkus yang dijual oleh dua beranak itu.

“Selain itu, anggota penguat kuasa Jaheaik dan MPKB-BRI turut merampas nasi bungkus berlauk ayam dan ikan yang berada di dalam kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Fadzuli memberitahu, siasatan mendapati, dua beranak itu merupakan peniaga nasi berlauk yang terkenal di Kota Bharu.

Menurutnya, kedua-dua suspek juga dipercayai menjual nasi kepada individu yang ponteng puasa sejak tahun lalu dan meneruskan kegiatan tersebut pada hari pertama bulan Ramadan tahun ini.

“Dua beranak itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 kerana tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual makanan.

“Selain itu, dua pelanggan mereka pula disiasat mengikut Seksyen 54 enakmen sama kerana bersubahat tidak menghormati Ramadan,” katanya.

Menurut Mohd. Fadzuli, keempat-empat yang ditahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21 enakmen sama kerana melakukan perbuatan tidak sopan bertentangan hukum syarak di tempat awam yang memperuntukan hukuman denda RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-dua jika disabitkan kesalahan.

Katanya, keempat-empat yang ditahan dibebaskan dengan bon jamin dan mereka diminta untuk hadir ke Mahkamah Syariah dalam tempoh terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI