fbpx

Genre muzik ‘pandang belakang’ Plong!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETIKA industri sedang meriah dengan pelbagai genre moden dan baharu, Plong! berharap agar irama lama yang dibawakan mereka diterima peminat.

DALAM era yang memiliki kepelbagaian muzik dan gamat kesibukan mencari sesuatu hasil baharu serta moden, ramai yang melihat ke belakang untuk menggali semula unsur-unsur seni terdahulu.

Tidak kira dalam seni lukisan, grafik, filem dan sebagainya, semuanya demi satu misi iaitu untuk mencari sesuatu yang asli dan unik.

Berteraskan perkara tersebut, sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Plong! hadir dengan identiti dan perjuangan muzik jauh dari kelaziman masa kini.

Terdiri daripada lima ahli iaitu Hidayat Nasir (gitar), Anas Afandi (dram), Akmal Borhan (bass), Acin Nasir Pukul (synth) dan Fahmi Samsuddin (penyanyi), Plong! mengusung perjuangan muzik-muzik lama.

Plong! bermaksud nyaman dalam bahasa Jawa juga merupakan nama sejenis pokok yang tumbuh dengan banyak di kawasan Sungai Pelong, Sungai Buloh, Selangor iaitu tempat membesarnya Hidayat dan Acin.

SEIRING dengan muzik lama yang diperjuangkan, Plong! turut menjadikan fesyen seperti penyanyi zaman klasik sebagai identiti mereka.

Selain fungsi nama, Plong! juga menggambarkan falsafah dan gaya muzik mereka sebagai sebuah band dengan beberapa genre antaranya, new wave 1980-an, disco funk, psychedelic rock dan disco punk.

“Kita cuba mencipta sesuatu yang menangkap perasaan futuristik tetapi pada masa sama masih mengekalkan nilai-nilai muzik terdahulu.

“Dari sudut fesyen pula, kami cuba elak untuk menampakkan diri mengikut sesuatu zaman, walaupun hakikatnya pengaruh gaya era 1960-an sehingga 1980-an itu ada,” kata Anas.

Kencana

Mengimbas sedikit tentang perjalanan kumpulan itu, Plong! pada asalnya dianggotai oleh Hidayat, Anas dan Akmal serta seorang penyanyi tambahan, Firdaus, namun usianya tidak panjang apabila sudah pulang menghadap Ilahi.

Seorang lagi adalah pemain gitar kedua dikenali sebagai Alef, namun memilih mengundur diri.

Akhirnya selepas melalui dua kehilangan, Plong! bertemu Fahmi, seorang artis indie termasuklah Acin yang merupakan pemain dram untuk kumpulan Pitahati.

Hadir dengan single pertama bawah terbitan Luncai Emas Sdn. Bhd. berjudul Kencana, Plong! menyifatkan karya tersebut dapat memberi gambaran identiti muzik mereka yang paling sesuai kerana memiliki gabungan bunyi disco funk bersama unsur-unsur Nusantara.

BESAR harapan Plong! agar muzik dan lagu mereka diterima baik oleh pendengar.

Cerita Fahmi, penghasilan Kencana terjadi secara spontan selepas kejadian usikan terhadap seorang rakan mereka yang sedang marah.

“Bermula dengan usikan, terhasil sebuah melodi. Cuma untuk bahagian lirik, kami biarkan kosong dalam tempoh yang agak lama kerana tidak tahu untuk buat lagu ini tentang apa.

“Kemudian terlintas perkataan kencana yang bermaksud emas, jadi kami luaskan maksudnya sesuai dengan mood dan perasaan,” kongsinya.

Di sebalik kemeriahan muzik lama yang diguna pakai dalam lagu mereka, karya-karya Plong! sebenarnya banyak berkisar perihal pengalaman dan persoalan-persoalan eksistensialisme, ketuhanan dan juga percintaan.

“Kami harap dengan pelancaran single ini, Plong! dapat lebih banyak peluang untuk berkarya dan juga mengadakan persembahan di pelbagai tempat,” kata Acin menoktahkan bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI