LIVERPOOL – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berang selepas anak-anak buahnya mensia-siakan kelebihan dua gol ketika seri 2-2 menentang Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield kelmarin.
The Gunners mendahului perlawanan 2-0 hasil jaringan Gabriel Martinelli dan Gabriel Jesus, namun gagal menggunakan kelebihan tersebut apabila membenarkan tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mohamed Salah dan Roberto Firmino.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Arsenal keciciran dua mata ketika Manchester City terus memberi tekanan dalam perebutan takhta liga apabila hanya dibezakan enam mata selain beraksi kurang satu perlawanan.
“Satu perlawanan yang sangat sukar. Pada awalnya, kami menguasai sepenuh permainan, tetapi segalanya berubah apabila kami melepaskan gol mudah yang menyebabkan Liverpool dapat melakukan kebangkitan.
“Kami bermula baik di separuh masa kedua, namun hilang kawalan secara tiba-tiba. Saya akui Liverpool mampu menjaringkan tiga atau empat gol, begitu juga kami, tetapi saya fikir keputusan ini adil untuk kedua-dua pasukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga percaya tiga mata mungkin menjadi milik mereka sekiranya pemain-pemain Arsenal mengekalkan aksi yang ditampilkan di separuh masa pertama selepas waktu rehat.
“Kami mensia-siakan peluang untuk dapatkan tiga mata. Jika kami mengekalkan aksi di separuh masa pertama, mungkin ia akan menjadi cerita berbeza tetapi terpaksa berpuas hati dengan satu mata,” tambah Arteta. – AGENSI