KUALA LUMPUR – Malaysia dalam kedudukan lebih baik untuk merayu terhadap hukuman mati yang dikendakan ke atas rakyatnya di luar negara kerana menjadi keldai dadah.
Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh berkata, ia kerana Malaysia telah mengambil langkah proaktif untuk menghapuskan hukuman mati walaupun hanya menghapuskan hukuman mandatori buat masa ini.
“Senator Ras Adiba Radzi telah timbulkan kes Nagaenthran K. Dharmalingam di Singapura iaitu seorang (rakyat Malaysia) dihukum mati di negara tersebut atas kes pengedaran dadah.
“Pada masa itu walaupun kita merayu untuk beliau untuk tidak dihukum mati, tetapi kita tidak ada “standing”.
“Pada masa sekarang kita ada kedudukan yang lebih baik untuk merayu kepada negara-negara lain yang menjatuhkan hukuman mati kerana kita sendiri telah ambil langkah proaktif untuk menghapuskan hukuman mati,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa bacaan kali kedua Rang Undang-undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 di Dewan Negara di sini hari ini.
Nagaenthran yang merupakan seorang lelaki kelainan upaya (OKU) dari Malaysia dihukum gantung sampai mati di pusat tahanan Singapura pada 27 April tahun lalu.
Dia didapati bersalah atas kesalahan mengedar heroin di republik itu pada 2009 apabila ditahan dengan dadah jenis heroin seberat hampir 43 gram semasa cuba memasuki Singapura.
RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 diluluskan di Dewan Negara hari ini selepas lebih suara Ahli Dewan Negara bersetuju. – KOSMO! ONLINE