fbpx

Amerika Syarikat intip sekutu sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota keselamatan Israel menggunakan meriam air untuk meleraikan penunjuk perasaan di Tel Aviv, 27 Mac lalu. – AFP

WASHINGTON – Kebocoran kandungan dokumen sulit Pentagon mendedahkan bahawa Amerika Syarikat (AS) mengintip kedua-dua sekutu dan seterunya, lapor stesen penyia­ran CNN kelmarin.

Pendedahan mengenainya meresahkan pegawai-pegawai AS yang bimbang ia boleh menjejaskan hubungan luar Washington.

Beberapa dokumen tersebut, yang menurut pegawai-pegawai AS sebagai tulen, mendedahkan pelbagai perkara termasuk bagaimana Washington mengintip perbualan dan tindakan sekutunya termasuk Korea Selatan, Ukraine dan Israel.

Ia juga menceritakan bagaimana AS menembusi Kementerian Pertahanan Russia dan organisasi tentera upahan Kremlin, Wagner Group menerusi pintasan komunikasi serta sumber manusia.

Selain itu, ia mendedahkan kelemahan Ukraine dari segi persenjataan, pertahanan udara dan saiz batalion serta kesiapsiagaan tenteranya pada waktu genting ketika tentera Kiev bersiap sedia melancarkan serangan balas terhadap askar Russia.

Sumber rapat kepada Presiden Volodymyr Zelenskyy memberi­tahu CNN bahawa Ukraine telah mengubah suai pelan ketente­raannya disebabkan kebocoran maklumat tersebut.

Sementara itu, Timbalan Se­tiausaha Akhbar Pentagon, Sabrina Singh berkata, Washington telah melaksanakan usaha antara agensi bagi menilai kesan daripada kebocoran maklumat sulit tersebut.

“Jabatan Pertahanan terus menyemak dan menilai kesahihan dokumen-dokumen bergambar yang disebarkan di laman sosial serta kertas mengandungi maklumat yang amat sensitif dan sulit.

“Satu usaha antara agensi dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada menilai kesan kebocoran dokumen tersebut kepada keselamatan negara AS serta sekutu dan rakan kerjasama kami,” kata Singh.

Dokumen sulit itu didedahkan secara online bulan lepas di platform media sosial Discord, demikian menurut beberapa tangkap layar yang dilihat oleh CNN.

Seorang jurucakap Discord dalam satu kenyataan kelmarin mengesahkan bahawa ia sedang bekerjasama dengan pi­hak berkuasa AS bagi membantu siasatan tersebut.

Dalam pada itu, sebilangan diplomat dari negara-negara yang terlibat dalam dokumen berkenaan memberitahu CNN bahawa situasi tersebut amat mengecewakan serta memburukkan reputasi AS.

Sekutu-sekutu Washington juga sedang melakukan penilaian dan cuba mengenal pasti sama ada sumber dan kaedah mereka turut terjejas akibat kebocoran maklumat itu

“Kami berharap AS dapat berkongsi penilaian kerosakan tersebut dalam masa beberapa hari akan datang, namun kami tidak boleh menunggu penilaian mereka. Buat masa ini, kami sedang melakukan penilaian sendiri,” kata seorang pegawai dari negara yang menyertai kerjasama perisikan Five Eyes bersama AS.

Pakatan itu termasuk Australia, Kanada, New Zealand dan Britain.

CNN dalam pada itu telah melihat 53 dokumen yang dibocorkan itu dengan kesemuanya dihasilkan antara pertengahan Februari hingga awal Mac tahun ini.

Satu daripada dokumen tersebut mendedahkan bahawa AS selama ini mengintip pergerakan Zelenskyy. Sumber yang rapat dengan beliau menganggap perkara itu tidak mengejutkan, namun Kiev dikatakan amat kecewa dengan kebocoran maklumat yang berlaku.

Dokumen lain pula menjelaskan butiran perbualan antara dua pegawai keselamatan Korea Selatan mengenai kebimba­ngan Seoul terhadap permintaan Washington supaya membekal­kan senjata kepada Ukraine. Permintaan AS itu dibimbangi melanggar dasar Korea Selatan untuk tidak membekalkan senjata

yang membawa maut kepada negara yang sedang berperang.

Selain itu, laporan yang dike­luarkan CIA turut menyebut bahawa agensi risikan Israel, Mossad, bertanggungjawab menggalakkan protes bagi menentang kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu terma­suk ‘seruan untuk bertindak’.

Pejabat Perdana Menteri ­Israel bagaimanapun mengulas bagi pihak Mossad kelmarin dengan mendakwa bahawa dokumen tersebut adalah fitnah tanpa asas yang kukuh. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI