PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menemui sebanyak 40 kotak mengandungi 400,000 batang rokok seludup terapung di tengah lautan pada jarak kira-kira 25 batu nautika dari muara Tok Bali di sini kelmarin.
Rokok yang bernilai RM418,000 itu dijumpai pada pukul 1 petang semasa anggota APMM menjalankan tugasan di kawasan tersebut.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, selepas menjumpai kotak-kotak tersebut, anggota bertugas bertindak mengutip dan membawanya pulang ke jeti APMM di sini untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua 40 bungkusan berwarna coklat itu yang mengandungi rokok seludup.
“Kita tidak menolak kemungkinan penyeludup tidak sempat mengambil kesemua rokok yang tersapung itu apabila mereka terpaksa meninggalkan bungkusan terbabit selepas menyedari kehadiran bot peronda APMM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE