LIPIS – Gajah liar terus mengganas apabila merosakkan 12 buah rumah penduduk Orang Asli dan memusnahkan kebun pisang milik Orang Asli di Kampung Gening, Pos Betau di sini.
Kejadian yang telah berlarutan dua hari itu menyaksikan penduduk gempar selepas kawanan gajah berjumlah kira-kira 13 ekor itu turut mengejar penduduk yang terpaksa berlari menyelamatkan diri.
Penduduk Kampung Gening, Bah Linsak Selek, 45, berkata, kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu paling dahsyat dan amat menakutkan apabila kawanan gajah liar mengganas tengah malam dengan merosakkan kediaman dan memusnahkan kebun pisang.
Dia memberitahu gajah liar berkenaan turut mengikut dan mengejar mereka apabila melihat cahaya lampu suluh ketika membawa keluarga menyelamatkan diri ke Kampung Gening Dua dan Kampung Bandar yang terletak berdekatan.
“Tuhan masih sayangkan kami kerana ada penduduk yang sedar dan menjerit supaya segera bangun dan keluar daripada rumah untuk membawa keluarga menyelamatkan diri.
“Ketika kami sedar daripada tidur kawanan gajah liar telah mematahkan tanaman pisang bersebelahan kediaman dan kemudiannya terus melibas belalainya sehingga rumah kami rosak teruk, manakala pakaian dan peralatan dapur berselerakan di tanah,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Along Bah Eh, 52, berkata, ketika melarikan diri beberapa ekor gajah liar turut mengekori mereka dan cuba mengejar apabila melihat cahaya lampu suluh.
Along berkata, demi keselamatan keluarga mereka terpaksa memadamkan lampu suluh dan meredah semak yang agak gelap untuk berpindah ke kampung berhampiran.
“Ketika balik ke kampung pagi ini, kami mendapati rumah kami rosak teruk apabila semua bahagian dinding buluh habis tercabut dan juga kerosakan pada lantai serta tiang,” katanya.
Katanya, beliau berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera dengan menangkap dan memindahkan kawanan gajah berkenaan demi keselamatan penduduk.
Sementara itu Bah Nir Bah Lampu, 42, berkata, kawanan gajah liar itu masih berkeliaran di hutan berdekatan.