fbpx

Rumah umpama tin sardin, 60 warga asing bersesak dalam bilik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIVAKUMAR (kameja putih) dalam serbuan rumah penginapan pekerja asing warga Bangladesh dan Nepal di Bandar Baru Nilai, di sini hari ini.

SEREMBAN – Rumah penginapan pekerja asing warga Bangladesh dan Nepal yang diserbu Jabatan Tenaga Kerja dan Sumber Manusia (JTKSM) di Bandar Baru Nilai, di sini, umpama ‘tin sardin’ apabila pihak majikan tergamak menempatkan sehingga 60 orang di setiap tingkat.

Penempatan tersebut terdiri daripada tiga bangunan tiga tingkat dengan 226 orang pekerja asing telah berjaya diselamatkan dalam operasi kira-kira pukul 1.30 petang tadi.

Lebih menyedihkan, mereka tinggal dalam keadaan panas dan bersesak serta hanya dilengkapi dua atau tiga kipas industri selain tidur beralaskan tilam nipis.

Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar berkata, pihaknya bertindak segera menyelamatkan mangsa berusia lingkungan 20-an hingga 40-an selepas menerima laporan daripada Kedutaan Bangladesh.

“Kita sudah masuk ke rumah transit pekerja asing tadi, amat mendukacitakan apabila kita lihat keadaan mereka yang dibawa dari Bangladesh dan Nepal ini.

“Mereka sampai ke sini (Malaysia) sejak 40 hari lalu dan tidak ditempatkan di mana-mana tempat kerja, malah mereka tidak tahu apa yang akan berlaku,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi di Bandar Baru Nilai, di sini hari ini.

Menurut Sivakumar, siasatan awal mendapati sebanyak 1,719 kuota pekerja asing telah diluluskan bagi tiga syarikat pencucian dan satu syarikat pembuatan yang disyaki terbabit merekrut pekerja asing berkenaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 608 dibawa masuk untuk sektor pencucian dan 390 untuk pembuatan. Seramai 327 warga asing ini tiada pekerjaan dan ada juga yang diletakkan di sektor yang salah,” katanya.

Sivakumar berkata, semua pekerja yang berada di rumah transit ini akan dipindahkan ke penginapan lebih sesuai dan berdekatan pada jarak tiga kilometer dari sini.

“Ini demi kebajikan dan keselamatan pekerja supaya tiada apa-apa insiden tidak diingini berlaku. Kementerian juga akan menukar majikan bagi 327 pekerja asing ini dan lantik majikan baharu yang benar-benar perlukan pekerja asing,” katanya.

Jelas beliau, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 24D Akta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) terhadap majikan tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam kes tersebut.

“Pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang membawa pekerja asing masuk sesuka hati tanpa sebarang pekerjaan,” katanya lagi.

Sementara itu, mangsa warga Bangladesh, Sobuj Khan, 23, berkata, dia dijanjikan pekerjaan sebagai pencuci di Genting Highland, Pahang namun sehingga kini tidak ditenpatkan di syarikat itu.

“Sebelum ini, saya bekerja di Dubai sebagai pencuci dan di sana sangat selesa, berbeza di Malaysia tidak seperti yang digambarkan. Keadaan ini menyebabkan keluarga saya di Bangladesh menangis mengenangkan nasib saya di sini,” katanya sebak.

Rakannya, Minh Az, 39, pula berkata, dia tidak dapat tidur kerana keadaan bilik terlalu sesak dan panas selain sedih mengenangkan nasib diri serta keluarga.

“Saya belum ada kerja, hari-hari tunggu berita daripada majikan, gaji pun tiada . Situasi ini menyukarkan saya untuk menyara isteri dan dua anak di Bangladesh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI