PEMAIN beregu wanita negara, M. Thinaah menyuarakan rasa gembira selepas namanya bersama Pearly Tan tersenarai dalam program ‘Road to Gold’ (RtG) yang dibentuk bagi memburu pingat emas pada Sukan Olimpik Paris tahun depan.
Pemain berusia 25 tahun itu turut menganggap keputusan tersebut dapat menjadi pembakar semangat buat mereka bagi kembali mendapatkan prestasi terbaik selepas mengharungi aksi kurang meyakinkan musim ini.
Justeru, dia dan Pearly tekad untuk mengambil peluang berada dalam program tersebut dengan memanfaatkan bantuan serta sokongan yang diberikan, sekali gus memburu pingat emas Olimpik pertama negara di Paris nanti.
“Saya rasa sangat gembira dan bersyukur apabila disenaraikan dalam program RTG ini, namun dalam masa sama kami mahu berikan sepenuh fokus bagi memperbaiki setiap kelemahan dan menjadi lebih baik.
“Saya fikir mereka sudah lakukan tugas yang sangat baik dalam memberi sokongan moral serta panduan kepada kami. Harapan saya adalah supaya semuanya berjalan lancar dan kami sedia untuk berdepan apa sahaja rintangan,” katanya.
Minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa RTG mengumumkan 15 nama awal atlet prospek pingat emas dengan 11 pemain badminton tersenarai.
Selain Thinaah dan Pearly, turut disenaraikan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta pemain-pemain profesional termasuk Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki) serta dua beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Melengkapkan senarai 15 atlet program RTG adalah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dari sukan terjun.