KUALA LUMPUR – “Jumpa sekejap lagi”.
Demikian sapaan pengarah popular, Syamsul Yusof sebaik tiba di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP), tepat jam 8.55 pagi tadi.
Hadir dengan wajah ceria, Syamsul yang diiringi peguam, Azmi Mohd Rais dan seorang rakan turut melambai ke arah sekitar 30 wakil media daripada pelbagai agensi yang menunggu kehadirannya sejak awal pagi.
Mengenakan sut serba hitam serba lengkap berkaca mata dan bersongkok, pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu terus menuju ke dewan bicara.
Tidak sampai 10 minit kemudian isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, pula tiba ditemani adiknya, Puteri Sofea Nadira.
Pelakon yang memakai jubah serba putih, pelakon yang sentiasa tersenyum itu meminta didoakan urusannya pada hari ini dilancarkan.
“Semoga semuanya selesai dan kami boleh mengikut haluan masing-masing.
Doakan semuanya berjalan dengan baik. Jumpa sekejap lagi,” katanya.
Ditanya mengenai ketiadaan ibu dan bapa mentuanya, Datin Patimah Ismail dan Datuk Yusof Haslam, Puteri Sarah menyatakan mereka tidak dapat hadir.
Katanya, mereka turut mendoakan yang terbaik untuknya.
Berbeza dengan kehadiran di mahkamah dan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) pada 24 Mac lalu, kali ini aktres terbabit mengakui lebih berdebar-debar.
Pada sesi pertama JKP, usaha damai kedua-dua pigak menemui jalan buntu apabila Puteri Sarah nekad dengan keputusan mahu bercerai.
Sebelum ini, pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Ibu kepada dua anak itu dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun.- KOSMO! ONLINE