fbpx

Raya saya akan lebih gembira, tenang – Puteri Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERI Sarah menjangkakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi dirinya tahun ini bakal memberikan lebih ketenangan dan kegembiraan.

KUALA LUMPUR – “Saya tak mahu bermusuh dan berdendam. Itu sahaja.”

Demikian luahan isteri kepada pengarah terkenal Syamsul Yusof, Puteri Sarah Liyana selepas Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 18 April sebagai tarikh lafaz cerai Syamsul Yusof terhadapnya.

Tambah pelakon Andai Itu Takdirnya itu, kata sepakat selepas prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini, yang seolah-olah memihak kepadanya ternyata amat melegakan. Dia bahkan bersyukur urusan permohonan perceraian mereka dipermudahkan selepas sebelum ini melalui pelbagai kesulitan.

“Sebelum ini banyak benda tak terjawab. Sekarang ini sudah diperincikan semuanya. Saya hanya mahu ketenangan. Alhamdullillah saya sudah dapat,” Puteri Sarah.

Dijangka akan melepaskan status sebagai isteri orang beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, Puteri Sarah awal-awal lagi sudah membayangkan ketenangan dan kemeriahan yang bakal diraikan bersama anak-anak dan keluarga.

“Sambutan raya saya akan lebih gembira dan tenang. Anak-anak juga tiada masalah beraya dengan bapa mereka. Kalau Syamsul beri kerjasama, saya pun akan beri kerjasama.

“Tiada apa nak dimusuhkan dan bergaduh. Semua sudah selesai, demi kebaikan anak-anak. Saya okey sahaja, saya tak nak lebih-lebih pun. Yang penting dia pun dapat jumpa anak,” katanya lagi.

Pagi tadi Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh lafaz cerai selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang mana setiap butiran penyelesaian iaitu hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian akan direkodkan.

Dalam prosiding hari ini, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin ,38, manakala peguam syarie Azmi Mohd Rais mewakili Syamsul atau Mohd Syamsul Mohd Yusof.

Terdahulu, media melaporkan sesi perdamaian antara Syamsul dan isteri pertama, Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), di sini, pada 24 Mac lalu, menemui jalan buntu.

Sebelum ini, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh antara alasan dikemukakan untuk bercerai ialah sudah tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Syamsul pula sebelum ini memaklumkan enggan menceraikan isteri pertamanya kerana yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang terhadap Sarah.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI