PUTRAJAYA – Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan bantuan khas Aidilfitri dan Pesta Kaamatan sebanyak RM700 kepada penjawat awam di negeri itu.
Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa Ketua Menteri Sabah Bersama Mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) Semenanjung, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini malam ini.
“Kerajaan negeri turut bersetuju mengagihkan bantuan sebanyak RM350 kepada pesara awam negeri dan ia akan diagihkan kepada penjawat awam negeri dan pesara pada 17 April depan,” katanya.
Mengulas mengenai majlis berbuka puasa itu, Hajiji berkata, program itu diadakan setiap tahun bagi meraikan mahasiswa Sabah yang menyambung pengajian di Semenanjung Malaysia. – KOSMO! ONLINE