PETALING JAYA – Pasangan pelancong dari Filipina dan England meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan caj gunting rambut melampau sehingga mencecah RM120 di sebuah premis di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Berdasarkan video dikongsikan pada TikTok Zoe&Czar, kedua-dua pasangan tersebut bertanyakan kepada pengguna media sosial rakyat Malaysia sama ada mereka telah terkena scam susulan harga dikenakan itu terlampau mahal.
Menerusi pemerhatian wajah dan gaya percakapan bahasa Inggeris lelaki yang juga tukang gunting rambut tersebut, jelas menunjukkan dia bukan rakyat negara ini.
“Czar (pelancong lelaki Filipina) gunting rambut dan papan tanda iklan di luar premis menunjukkan harga bermula RM19. Kemudian, tukang gunting rambut beritahu harga ialah RM120.
“Kami juga terdengar dikatakan ada orang luar yang dikenakan caj gunting rambut sehingga RM250,” katanya menerusi penerangan pada video tersebut.
Berikutan tidak berpuas hati dengan harga itu, mereka turut bertanya dengan dua rakyat tempatan dan diberitahu rata-rata harga tidak lebih RM50 di kawasan Bukit Bintang.
“Mereka maklumkan harga tak lebih daripada RM50, kami tanya orang tempatan yang memberitahu, tidak sepatutnya melampau macam itu,” katanya.
Dalam pada itu, Czar memberitahu, harga RM120 itu lebih mahal daripada yang di bayar bagi perkhidmatan gunting rambut di United Kingdom.
Malah, Zoe yang juga pelancong wanita warga England pula berkata, tindakan tukang gunting rambut tersebut mengenakan caj melampau memberikan pandangan buruk terhadap Malaysia.
“Satu benda yang dia buat mungkin memberi kesan kepada kami untuk datang lagi ke sini. Bagaimanapun, kami bertuah sebenarnya banyak aspek dan elemen baik di sini dan kami sukakannya,” katanya.
Sementara itu, perkongsian video tersebut mendapat maklum balas daripada pengguna TikTok rakyat Malaysia yang menasihati mereka supaya berwaspada daripada terkena scam oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Dia bukan orang tempatan. RM120 terlampau mahal untuk gunting rambut. Biasanya harga normal untuk gunting rambut antara RM15 hingga RM25, maaf kawan awak terkena scam,” komen Amir.
“Jangan pergi kedai gunting rambut orang luar sebab mereka akan caj awak lebih, jadi pergi ke kedai gunting orang tempatan,” nasihat Kelly Kamaruzaman. – KOSMO! ONLINE.