KUALA LUMPUR – Peguam syarie, Azmi Mohd Rais enggan mendedahkan perincian dalam perjanjian dalam tuntutan perceraian isteri pertama, Puteri Sarah Liyana terhadap anak guamnya, Syamsul Yusof.
Azmi bagaimanapun mendedahkan pasangan tersebut sudah sepakat dengan terma yang telah dibincangkan terlebih awal.
“Perjanjian penyelesaian perceraian itu merangkumi hak-hak isteri selepas cerai, hadanah, nafkah anak dan juga global, kes-kes lain seperti kes nusyuz. Tunggu minggu hadapan,” katanya.
Katanya, segala terma yang dipersetujui Sarah dan Syamsul telah dibuat sebagai draf perjanjian, manakala sesalinan draf perjanjian itu juga sudah diserahkan kepada peguam untuk disemak semula.
“Pada hari ini ditetapkan tarikh sebutan seterusnya untuk kes cerai ini. Sepatutnya hari ini adalah untuk menerima laporan jawatankuasa pendamai (JKP) yang telah dijalankan sebelum ini.
“Tetapi sebelum perkara berlaku, kami maklumkan kepada hakim, kedua-dua pihak telah berjumpa sesama sendiri malam semalam dan mencapai kata sepakat mengenai penyelesaian tuntutan perceraian.
“Jadi kami baru mendapat terma pada pagi tadi dan terus membuat draf perjanjian. Lalu kami telah menyerahkan sesalinan draf perjanjian itu kepada kepada pihak peguam pihak sana untuk disemak.
“Semuanya tertakluk kepada persetujuan pihak sana,” kata Azmi selepas prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Mengenai proses ke arah perceraian yang kini menampakkan jalan penyelesaian mudah, Azmi mengatakan pengarah Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan itu sudah bersetuju untuk berpisah secara harmoni.
“Insya-Allah, begitulah cerita dia dengan perjanjian tersebut. Mereka memilih untuk melaluinya dengan baik terutama Syamsul,” katanya
Pagi tadi Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan 18 April ini untuk Syamsul melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya itu selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.
Bagaimanapun terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut. Antara terma-terma penyelesaian itu ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.
Dalam prosiding hari ini, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin ,38, manakala peguam syarie Azmi Mohd. Rais mewakili Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39,
Untuk rekod Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4, – KOSMO! ONLINE