fbpx

Gadis Kampus: Nurul Shahirah cemerlang akademik, kokurikulum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL SHAHIRAH dinobat sebagai penerima Anugerah Khas Pelajar Paling Aktif dalam Majlis Gemilang Mahasiswa UTM bagi sesi 2019.

ANDAI dihitung angka penglibatannya dalam program pembangunan pelajar anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mahupun pihak luar, pasti ramai tertanya-tanya bagaimana pelajar ini mampu membahagikan masa dengan rutin sehariannya.

Rekod dalam Sistem Aktiviti Pelajar UTM turut melayakkan Nurul Shahirah Zaihan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Pelajar Paling Aktif dalam Majlis Gemilang Mahasiswa UTM bagi sesi 2019.

Lebih menakjubkan, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan (Kemahiran Hidup) itu turut konsisten dalam pencapaian akademiknya sepanjang tiga semester di UTM dengan memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75.

Tidak setakat itu, anak bongsu daripada tiga beradik itu juga merupakan tonggak utama pasukan Debat UTM yang yang menyertai Pertandingan Debat Diraja di Universiti Malaysia Perlis beberapa tahun lalu.

Selain aktif dalam aktiviti kokurikulum, anak jati kelahiran Johor itu juga menyandang pelbagai jawatan antaranya Timbalan Exco Akademik Persatuan Mahasiswa Pendidikan UTM, Pengerusi Debat Melayu Kelab Debat, Pidato Dan Pemikiran Kreatif (De’PIKIR).

Selain itu, dia menjawat jawatan sebagai Setiausaha UKQU2512 Pertahanan Awam, Ketua Exco Akademik Persatuan Mahasiswa Pendidikan (Pendidik) UTM serta Ketua Unit Roadshows dan Forums Student Union Task Force.

Ditebak mengenai insan di sebalik kejayaan yang diraihnya ketika ini, Nurul Shahirah berkata, ibu bapanya iaitu Latipah Jaiman dan Zaihan Abd. Majid merupakan sumber inspirasi utama.

NURUL SHAHIRAH (berdiri) cukup aktif dalam bidang pengucapan awam sepanjang menuntut di UTM.

Katanya, ibu bapa sentiasa memberi dorongan kepadanya dalam setiap bidang yang diceburi.

“Aktiviti debat banyak membantu saya agar lebih berkeyakinan untuk berhujah di depan khalayak ramai.

“Sementelah, saya sertai pertandingan debat sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Debat banyak mendorong saya untuk aktif dalam kelas dan mengutarakan pandangan serta membentuk komunikasi dua hala di dalam bilik kuliah,” katanya.

Diaju soalan mengenai pembahagian masa antara akademik dan aktiviti luar bilik kuliah, gadis berusia 24 tahun itu mengakui, perancangan waktu sememangnya sangat penting bagi setiap pelajar.

Katanya, dia perlu bijak merancang dan mengatur jadual antara kelas di bilik kuliah serta aktiviti disertainya mengikut masa yang sesuai.

“Macam saya sendiri, saya ada jadual khas yang saya buat sendiri.

“Jadi saya tahu bila waktu saya tiada kelas dan sesuai untuk menyertai aktiviti luar.

“Apabila menghampiri minggu peperiksaan, saya akan tinggalkan seketika semua aktiviti luar dan beri fokus sepenuhnya pada pelajaran,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Nurul Shahirah menyimpan impian untuk menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi, di samping bekerja mencari pengalaman.

“Insya-Allah jika tiada masalah, saya rancang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi nanti.

“Saya juga perlu habiskan latihan industri dan bekerja sebagai syarat wajib akademik. Ini membolehkan saya bekerja mencari pengalaman lebih mencabar di luar sana,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI